Soalan:
Semangat
kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat
anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam
kalangan penduduk dapat ditingkatkan.
Jiran ialah orang yang
tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di
belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah
kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran
sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang
akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah
mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan
sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Langkah primer yang
harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti
gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang
aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan
dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan
seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat
digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak
cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong
ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara,
dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan
hubungan sesama jiran.
Selain itu, kita juga
hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan
perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh
semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka,
jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih
dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat
berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang
disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya
Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis
rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka
mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan
lebih erat lagi.
Di samping itu, kita
juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan,
semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti
seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan
sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin
bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini
hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman
rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini,
hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan
menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang
terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Bukan itu sahaja, kita
juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu
persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau
pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini,
banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun
Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat
Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga,
masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk
mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita
lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan
semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Seterusnya, kita
mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai
langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup
bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini,
kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita.
Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita
bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau
kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang
berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada
prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita
mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala
kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan
kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami
oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita
perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era
globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan
orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan,
semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan
negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan
bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa
berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara
kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.
No comments:
Post a Comment