Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita
Semangat patriotik semakin luntur dalam
kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh
banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan
sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat
mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk
mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata.
Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak
mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak
mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara
dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang
boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan
penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi.
Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti
kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.
Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat
patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula,
amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta
akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama
negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah
dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek
semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian
tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan
menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata
pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara
formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam
kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus
subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan
persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah
menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa.
Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan
kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia,
di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk
menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau
program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana
tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu
juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama
yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang
bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan
usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar
dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di
kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti
sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah
digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu
mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh
akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan
semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat
memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di
negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk
melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan
pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan
cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang
memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu
mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah
dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang
terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana,
kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai
bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah
pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan
memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha
untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa
henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan
warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang
berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki
semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri
dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding
dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat
dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan
negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah
berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik
dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.
Peranan Kita dalam Usaha
Mengantarabangsakan Bahasa Melayu
Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah
ingat bahawa orang lain, iaitu bangsa lain tidak akan menyebarkan bahasa Melayu
ke seantero dunia, kecuali kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah mempunyai
iltizam untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa
terpenting pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah yang pertama ialah kita
perlulah memastikan bahawa bahasa Melayu mestilah diterima di tanah air
sendiri. Jika bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi di
negara kita ditolak oleh sebilangan besar rakyat di negara kita, bagaimanakah
penduduk dunia mahu menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mereka? Oleh
hal yang demikian, kita mestilah menyokong segala usaha yang bertujuan
meningkatkan atau memartabatkan bahasa Melayu di negara sendiri.
Selain itu, kita juga
hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui peranan kita sebagaiduta
kecil ketika berada di luar negara. Sama ada kita sebagai pelajar,
pelancong, atau pekerja, kita mestilah sentiasa berusaha untuk menyebarluaskan
bahasa Melayu dengan pelbagai cara. Ketika berada di luar negara, apalah
salahnya jika kita mengajar rakan kita dari negara lain untuk mempelajari
bahasa Melayu. Untuk menarik perhatian mereka, kita juga mestilah bersedia
untuk mempelajari bahasa mereka. Jika kita bersedia untuk mempelajari bahasa
mereka, mereka juga pasti bersedia untuk mempelajari bahasa kita.
Seterusnya, kita
hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui pejabat kedutaannegara
kita di luar negara. Di seluruh dunia, terdapat 104 buah kedutaan Malaysia yang
mampu memainkan peranannya untuk menyebarluaskan bahasa Melayu. Melalui
kedutaan tersebut, kita hendaklah mengetengahkan bahasa Melayu di negara-negara
asing dalam pelbagai acara atau majlis. Melalui usaha ini, bahasa Melayu akan
lebih dikenali, dipelajari, dihayati dan seterusnya dihormati oleh warga dunia.
Pepatah Melayu mengatakan,"tak kenal maka tak cinta". Sebagai
rakyat yang mempunyai semangat `bahasa jiwa bangsa’, kita
hendaklah mempunyai iltizam atau kesungguhan untuk mempromosikan bahasa Melayu
walau di mana-mana jua kita berada.
Dalam zaman teknologi
maklumat dan komunikasi ini pula, rakyat Malaysia mestilah memanfaatkan
penggunaan Internet. Mereka yang pakar dalam bidang ini seperti ahli
akademik, pakar bahasa dan sebagainya hendaklah menyebarluaskan bahasa Melayu
melalui laman web atau blog bagi membolehkan masyarakat dunia untuk mendekati
dan mempelajari bahasa Melayu. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan masyarakat
di duni mencari dan memperoleh maklumat melalui Internet. Oleh itu, kita
mesti;ah mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan bahasa Melayu. Oleh sebab
Internet merupakan medium yang paling murah, mudah dan cepat untuk menyebarkan
maklumat, kita mestilah mengeksploitasikan kelebihan ini untuk
mengantarabangsakan bahasa Melayu ke seantero dunia.
Bukan itu sahaja, kita
juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui filem.
Jika penerbit filem di negara kita mampu menghasilkan filem yang bermutu, sudah
pasti masyarakat antarabangsa akan menerima filem kita. Apabila mereka menerima
filem kita, hal ini akan memberikan peluang kepada mereka untuk mendalami dan
mempelajari bahasa dan budaya Melayu. Namun, masalah yang kita hadapi ialah penerbit
filem negara kita masih belum mampu menghasilkan filem yang bertaraf
antarabangsa seperti filem yang dihasilkan oleh negara Hongkong, Jepun, Korea ,
Bollywood, dan sebagainya Jadi, jika kita mahu menggunakan filem sebagai satu
cara untuk menyebarluaskan bahasa Melayu, kita mestilah memartabatkan dan
mengantarabangsakan filem Melayu juga.
Langkah-langkah untuk Menggalakkan Orang
Ramai Menggunakan Pengangkutan Awam
“Zaman beralih, musim bertukar”,
selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui
rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali.
Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia
telah mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan
prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan
lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai
pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah
Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia
menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi menyokong? Lantaran itu,
langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk
menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan
bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam
yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal
ke tempat destinasi dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu,
kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu yang
dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan
haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan
pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses
perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain
itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne, di
negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta
api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata,
pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat
memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu
direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah
diramalkan oleh pengendali.
Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki
pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti
pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah
dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita
haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa
elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa
elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat meningkatkan. Kekerapan
pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang
terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan
pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu
komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan keseluruhan. Dalam era
globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kekerapan
pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka
kurang keyakinan terhadap pengakutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah
dilaksanakan untuk mendapat balik keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam.
Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan
oleh kerajaan mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah
ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang
berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan
mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam seperti
Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan
awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran
televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan
masyarakat dengan menyiarkan rancangancinta akan
negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya.Selain
rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan
sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat
informasi yang terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka.
Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana
langkah ini telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan
perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan banyaran yang minimum.
Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian
para penumpang.
Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari
rebungnya”, pendidikansejak kecil juga merupakan salah satu
langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Sekolah
dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan
perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat
menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan
awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja
diberi kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberi kepada mereka yang
dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam di dalam hati mereka. Melalui
pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan
kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan
bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki
kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam
seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan
pengangkutan awam ditanam mendalam kepada mereka.
Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan
jarak perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan
ke sesuatu destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem
perhubungan darat merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi
sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus
menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan penumpang
menaiki pengangkutan awam.
PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN
SOKONGAN DAN DORNGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK
ANAK-ANAK
Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum
kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas
kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset
terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai
keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk
menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada
tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana
beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM
2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga
yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam
bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang
akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga.
Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh
keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia
pemangkin kecemerlangan anak-anak.
Antara peranan daripada keluarga
ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong
untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih
mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola
dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa
akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah
kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka.
Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak
yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian
statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat
Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga.
Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang
boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.
Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup
memerah keringat, membanting tulang dan bekerja kerasdengan tulang
empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini
kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada
anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa
menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan
yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu
bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan
anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos
yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat
dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan
Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit
bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan
apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini
membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun
terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa
menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran.
Dorongan lain yang boleh diberikan oleh
keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama yang
sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna
akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan
mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah
terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam
masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM
2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang
sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan
bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh.
Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu
dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam
bidang akademik.
Sebagai intiha, dorongan daripada
keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa
serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan
tebingdan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama
dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni
mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang
dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih
dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa
pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak
lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun
dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama
rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh
sarwajagat ini.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU
Mutakhir ini, arus globalisasi yang
semakin menerjah di seantero dunia telah banyak membawa perubahan kepada
kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam keghairahan mengejar arus
modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita yang sering
mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini
dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah menjadi polemik orang
ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering terlintas
di fikiran kita ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu?
Banyak jawapan yang berlegar-legar di gawang minda kita kita. Namun begitu,
masalah yang semakin serius ini perlu diatasi dengan segera kerana di
mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak
kerajaan memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang
termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari
undang-undang dengan membakar sampah sarap secara terbuka manakala pemaju
kilang yang membiarkan pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis perlu
dikenakan hukuman yang lebih berat. Biarlah mereka menerima pengajaran supaya
lebih peka terhadap isu jerebu yang semakin kronik ini, kerana “sudah
terhantuk baru tengadah”. Pemaju-pemaju kilang yang mengamalkan sikap
sebegitu bukan sahaja harus dikenakan saman yang lebih tinggi, malah premis
kilang mereka harus disita. Bagi memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan
turut perlu mewajibkan setiap kilang perindustrian supaya memasang sistem
penapisan asap dalam kilang mereka untuk mengurangkan penyaluran habuk dan
gas-gas toksik ke dalam udara. Pada masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar
haruslah menggemblengkan tenaga dengan organisasi bukan kerajaan untuk
menjalankan kempen kesedaran yang lebih efektif secara giat. Kempen kesedaran
ini bukan sahaja dapat menyedarkan orang ramai tentang perbuatan mereka yang
menyumbang kepada masalah jerebu, malah kempen tersebut mampu membekalkan
mereka dengan informasi tentang langkah-langkah yang patut diambil oleh setiap
individu untuk membantu dalam mengatasi fenomena jerebu. Tuntasnya, kerajaan
menjadi pemangkin perdana bagi memastikan masalah jerebu dapat ditangani dengan
cara yang efektif.
Selain itu, tindakan kerajaan yang lain
dalam menangani masalah jerebu ialah pembenihan awanperlu
dilaksanakan demi menyekat keadaan jerebu daripada menular. Akibat daripada
fenomena El-Nino, cuaca kering dan kemarau telah melanda Malaysia. Keadaan ini
memburukkan lagi keadaan jerebu. Dengan demikian, kerja pembenihan awan
terpaksa dilakukan untuk mendapatkan hujan. Apabila cuaca kering, suhu awan
menjadi tinggi, titisan air menjadi ringan, Titisan yang sangat ringan ini tidak
dapat jatuh ke bumi sebagai hujan. Oleh itu, iodin perak ataupun ais kering
akan ditabur untuk menurunkan suhu awan tersebut. Ais kristal akan terbentuk
dan semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, air kristal akan jatuh ke bumi
dan bertukar menjadi titisan air apabila cair akibat daripada suhu bumi yang
panas. Hujan boleh memainkan peranan penting apabila keadaan jerebu menjadi
sangat serius. Hujan dapat membawa bersama jerebu jatuh ke bumi, justeru
masalah jerebu dapat diatasi dengan pembenihan awan.
Tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam
menangani fenomena jerebu. Ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak
mereka tentang langkah-langkah mencegah masalah jerebu, menerusi pendidikan
tidak formal. Ketika mereka masih di bangku sekolah, anak-anak diibaratkan
sebagai kain putih dan memerlukan bimbingan ibu bapa untuk membentuk jati diri
mereka yang sempurna. Sebagai memberi teladan kepada anak-anak mereka, mereka
perlu memikul tugas untuk memaparkan sikap mesra alam supaya sikap sebegitu
tersemai dalam sanubari anak-anak mereka sehingga menjadi satu kebiasaan dalam
kehidupan, bak kata pepatah, “alah bias tegal biasa”. Berpegang pada prinsip “bagaimana
acuan begitulah kuihnya”, anak-anak akan mengikut sikap ibu bapa
sebagai rakyat negara yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam membentuk
keperibadian mereka supaya menjadi individu yang mengamalkan sikap mesra alam,
ibu bapa juga diamanahkan dengan tugas menyuburkan nilai-nilai murni, seperti
nilai bertanggungjawab dan nilai peka terhadap isu-isu alam sekitar dalam jiwa
anak-anak untuk menyedarkan anak-anak tentang tanggungjawab mereka dalam
memelihara kebersihan udara. Ibu bapa turut diberikan tanggungjawab untuk
membuka mata anak-anak mereka terhadap isu jerebu melalui penyertaan dalam
kempen-kempen kesedaran kerajaan. Melalui langkah tersebut, anak-anak akan
didedahkan kepada perkara serius ini sejak umur yang kecil lagi, malah hal ini
membantu mereka memahami impak jerebu terhadap negara supaya mereka dapat
menghulurkan bantuan dalam usaha menangani masalah jerebu. Maka, peranan ibu
bapa dalam usaha mengatasi fenomena jerebu turut mendatangkan impak positif
kerana mereka menjadi penentu sahsiah generasi muda.
Selain kerajaan dan ibu bapa, pemimpin-pemimpin negara perlu bertemu dengan
pemimpin dari negara jiran dan berbincang tentang kesan-kesan
yang disebabkan oleh pembakaran hutan serta mencari cara penyelesaian masalah
bersama-sama. Pemimpin negara Indonesia boleh memainkan peranan dengan
merancang pembakaran hutan dengan teliti dan memikirkan cara mengurangkan
implikasi negatif yang dibawa oleh pembakaran hutan. Mereka juga patut melarang
pembakaran hutan dan mengenakan hukuman yang berat terhadap mereka yang
melanggar peraturan tersebut. Dengan melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang
tersebut, maka masalah jerebu dapat diringankan.
Sebagai rakyat Malaysia kita boleh memainkan peranan kita dengan tidak
membakar sampah sarap secara terbuka. Hal ini kerana asap yang
dihasilkan melalui pembakaran sampah sarap merupakan antara penyumbang kepada
jerebu dan sebagai akibatnya kesihatan manusia akan terjejas dan membawa kepada
pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong, penyakit asma, pneumonia, barah
paru-paru dan sebagainya. Di samping itu, kita boleh melibatkan diri dalam aktiviti
menyelamatkan alam sekitar dengan menanamkan tumbuh-tumbuhan di sekitar kawasan
rumah. Dengan adanya kerjasama daripada masayarakat, masalah jerebu pasti dapat
ditangani sebelumnasi menjadi bubur.
Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia.
Bagi menyelesaikan
masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam
mengatasi masalahtersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing”. Pelbagai langkah perlu diambil demi
mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas
daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat berkembang
maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan yang sememangnya berpandukan
cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha mengurangkan masalah jerebu dan
mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan bersama.
KESAN JEREBU
Dalam mendepani realiti baru dunia yang
pantas berubah, rakyat Malaysia telah digemparkan lagi dengan berita Indeks
Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara mendadak
akibat berlakunya jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara
tahunan telah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar
tersebut. Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat
ditutup dengan daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada
pihak media massa dan dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah
serius akibat berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan
berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan penting
dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah selera.
Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah
jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita dan
juga rakyat kita.
Antara kesan negatif yang disebabkan
oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas. Udara
negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali
jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2
kilometer menjadi 50 meter. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita
dilanda jerebu yang paling teruk dalam sejarah negara kita, di mana Indeks
Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500
buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua
kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan
kebanyakan sekolah, pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh
itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jelaslah jerebu
boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.
Jerebu juga boleh menyebabkan masalah
kesihatan rakyat. Golongan yang lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga
tua mudah jatuh sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi
lemah dan imunisasi semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan
mudah merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah
diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka
menjadi tidak baik dan ditambah pula udara yang kurang bersih maka kesihatan
mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa yang panjang, kita juga mungkin
akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata dan sebagainya. Dengan
itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif kepada kesihatan orang ramai.
Selain kemerosotan taraf kesihatan
rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejas akibat
kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah
menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa
dihentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat
Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari
alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu. Apabila
masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan
timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber
pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan
Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para
pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan
melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang
akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara
tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.
Jika dilihat dari perspektif lain,
masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan fauna di negara kita. Apabila jerebu
berlaku, kandungan karbon dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang
biasa, sebaliknya kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini
akan menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar.
Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh proses
fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan.
Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas
karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama.
Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang untuk matang.
Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh terjejas sehingga 30
peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara yang
bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan akuatik akan
terjejas kerana kandungan oksigen yang terlarut dalam air pula akan berkurang
dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan tidak akan mendapat oksigen yang
secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan flora dan fauna negara.
Intihanya, semua pihak termasuklah
rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan berganding bahu dalam menyelesaikan
masalah jerebu di Malaysia bagi mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis
kata cendekiawan, “bagai aur dengan tebing.” Sekiranya masalah
ini dipandang enteng, nyawa modal insan negara kita akan menjadi “seperti
telur di hujung tanduk.” Kebobrokan sikap anak-anak juga mestilah
dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini
memerlukan tenaga mereka untuk mengatasi masalah jerebu dan seterusnya
menggapai impian Wawasan 2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak
diatasi dengan segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan
dan berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa
menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna lagi.
USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG
Belakangan ini, kenaikan harga barang
telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat
Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini,
kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa
langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini,
bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.
Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah
setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan
ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat
perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja
sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50
atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara
ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat
mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat
mengurangkan kenaikan harga barang.
Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan
keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan
keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak
diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga
hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan
perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan
keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.
Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di
pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah
bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu
teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli
ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah.
Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh
tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.
Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan
mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga
barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang
bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke
semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau
tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya,
mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau
cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah
didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk
mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga
minyak.
Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu,
semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk
menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat
Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke
lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan
kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot
barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam
situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.
KELUARGA IMPIAN SAYA
"Rumahku,
syurgaku". Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya
peranan ahli keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga impian saya ialah
keluarga bahagia. Apakah ciri-ciri yang harus ada pada sesebuah keluarga
bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut,
setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipannya untuk mewujudkan
keluarga bahagia.
Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan
dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah
anak-anak. Ibu bapalah yang akan membekalkan kehidupan sempurna kepada
anak-anak. Anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih, ibu bapalah
yang akan mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa depannya.
Ibu bapanya yang merupakan guru terdekat harus menunjukkan teladan yang baik.
Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata pepatah ,”bagaimana
acuan, begitulah kuihnya”.
Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk
membezakan “yang mana intan, yang mana kaca”. Ibu bapa harus
mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang
baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak
terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak
bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus
mencurah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak seperti “menatang
minyak yang penuh” . Didikan agama dan moral yang teguh harus
disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah “melentur
buluh, biarlah dari rebungnya”. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan
agama dan moral yang teguh diibaratkan seperti “kapal tanpa
nakhoda”.
Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan
memahami masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa
hendaklah mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu
rakus mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan
tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Hukuma-hakam Arab pernah mengatakan
bahawa anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk
adalah yatim.
Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu
bapa. Anak-anak harus belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan
cemerlang untuk membalas jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya memuliakan dan
menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan
yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, menagih dadah dan sebagainya.
Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa ibu bapa dan janganlah bersikap
seperti “kacang lupakan kulit”. Anak-anak janganlah
lupa bahawa ibu bapalah yang mendidik, membimbing, dan menjaga mereka. Kalau
bukan ibu bapa, siapakah kita?
Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli
keluarga saling menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya
bertolak-ansur dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan
perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah keluarga yang harmani, aman dan
damai. Ahli-ahli keluarga akan saling membantu dan bekerjasama, bak kata
pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia.
Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada
berjuta-juta batu-bata. Keluarga bahagia banyak memerlukan unsur juga.
Contohnya, kasih sayang, kerjasama, toleransi dan sebagainya. “Rumahku,
syurgaku.” Keluarga bahagia ialah keluarga impian saya.
KESAN PEMANASAN GLOBAL
Bumi kini sedang mengalami “demam panas”
akibat pemanasan global yang turut membawa bersamanya iklim dunia yang semakin
kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih
banyak mengganggu ekonomi berbanding dengan kesihatan diri. Walau bagaimanapun,
kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada
semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang
terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai
malang.
Tetapi, bagaimanakah pula bagi mereka yang terselamat? Adakah mereka bebas
daripada sebarang ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati
kesejukan atau dehidrasi? Percaya atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh
lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara
langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan
perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di
Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan
belum ditambah dengan 800,000 lagi mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara
setiap tahun.
Pemanasan global berpunca daripada pencemaran udara yang meningkatkan
jumlah gas-gas karbon yang turut dikenali sebagai gas rumah hijau di dalam
atmosfera bumi. Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan ke
permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan
menyebabkan suhu bumi semakin meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula
mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah
pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar.
Selain itu, suhu tinggi ini turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang
akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun
yang lebih teruk teruk daripada biasa. Contoh terbaik mangsa perubahan cuaca
dunia dapat dilihat dalam gelombang haba di Eropah yang menyebabkan angka
kematian meningkat sejak tahun 2000. Gelombang ‘kepanasan’ ini telah menyebabkan
suhu ketika musim panas dan musim sejuk di Eropah kini jauh lebih tinggi
daripada kebiasaannya.Perubahan sama turut dirasai oleh wilayah beriklim
tropika yang menghadapi musim monsun lebih teruk kini, sementara negara seperti
Amerika Syarikat dilanda ribut salji dan ribut taufan lebih teruk seperti
Taufan Katrina pada tahun 2005. Pada tahun 2006, sepuluh negara yang paling
teruk dilanda bencana alam ialah Filipina, Korea Selatan, Indonesia, Vietnam,
Ethiopia, India, China, Afghanistan, Amerika Syarikat dan Romania.
Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin teruk jika terus
diabaikan atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan
menanggung kesan penuh kerakusan generasi kini mencemarkan alam sekitar
semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan ekonomi. Sebarang bentuk perubahan
melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak dan
warga emas yang sering dilihat menjadi mangsa pertama kejadian bencana.Rakyat
Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas
terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah 'alah
bisa tegal biasa'.
Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin
tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat
strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi,
sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan
penyakit pneumonia atau radang paru-paru yang berpunca daripada penyebaran
meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan lembap serta
beberapa faktor lain. Sesetengah kawasan turut berhadapan dengan masalah
dehidrasi yang teruk berikutan kemarau panjang yang berpunca daripada gelombang
panas dan peningkatan paras air laut yang mencemari sumber air tawar dengan air
masin dari laut.
Peningkatan suhu juga akan menggalakkan pembiakan vektor seperti tikus,
nyamuk,kutu dan pepijat. Penyebaran vektor seperti nyamuk menyebabkan penyakit
seperti malaria, denggi dan demam kuning yang mula dicatatkan di Eropah dan
kawasan yang dahulunya beriklim sejuk. Hal ini terbukti apabila negara beriklim
sejuk seperti Nepal dan Bhutan mencatatkan kes malaria pertama di
kawasan-kawasan tanah tinggi dua negara tersebut. Sementara itu, tikus juga dilihat
dapat membiak dengan lebih mudah dalam cuaca panas dan lembab ini. Haiwan ini
mampu menyebarkan penyakit Leptopirosis dan Legionellosis yang disebarkan
melalui kuman yang ditinggalkan bersama urin atau najis tikus.
Ketika banjir, tahap kebersihan amat sukar untuk dijaga terutama kebersihan
air. Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang rami
kepada air yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan
terancam jika air tercemar digunakan segai air minuman, memasak, membasuh atau
membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , disentri dan pelbagai penyakit
bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini
diburukkan lagi dengan peningkatan kes bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di
dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini
menjadi tempat strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat
bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang mereput.
Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam
dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon
monoksida kini semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan
kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut
terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan oksigen
darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh
memberi kesan kepada badan dan jantung.
Tanggungjawab memulihara alam sekitar perlu dipikul oleh semua penduduk
dunia dan tidak sepatutnya dibiarkan kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan
dunia semata-mata bak kata pepatah 'yang ringan sama dijinjing yang
berat sama dipikul'. Rakyat turut memainkan peranan penting dengan
mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan
kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia
kerana 'sikap tamak membawa kerugian'. Walaupun hanya dengan
sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan
penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin individu, setidak-tidaknya
kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita
demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.
KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN
BERSEJARAH
Pembangunan di negara kita semakin hari
semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini lebih dikenali
sebagai negara yang sedang membangun. Banyak kilang perindustrian, pusat
beli-belah dan rumah dibina yang menggunakan ruang yang luas sehingga memakan
tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan di
kedai kopi sehingga sidang di Dewan Parlimen mutakhir ini ialah isu meruntuhkan
bangunan bersejarah tetapi perbincangan itu telah membuat keputusan muktamad
untuk tidak meruntuhkan bangunan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga
negara-negara yang telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya,
Jakarta. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan
tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera.
Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan
bersejarah yang terdapat di negara kita.
Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah
atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu
era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus
Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati
seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan
selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti
British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah
untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk
generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan
bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah
dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik
dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya,
zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat
dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ,
Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid
Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali
detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat
membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung
Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan
bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu
diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen
lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya
remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun
ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara
namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta
mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat
terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh
masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan
sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka
berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana
terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan
tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang
setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil
mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah
di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan
teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan
monumen dapat menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun
pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga
menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain
menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak
perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya,
bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis
dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di
beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda.
Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England
telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka
dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh
dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong
juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang
terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara
kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu,
bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri
pelancongan negara.
Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang
penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan
penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji
bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan
pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai
Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja
kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan
kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di
Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan
rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah
Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan
air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada
tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor
polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan
kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal
maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya
mempunyai nilai yang tersendiri.
Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda
generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah
negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut
dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya
bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan
perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang
sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah.
Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah
sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak
yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan
tindakan undang-undang.
FAKTOR JEREBU
Dalam mendepani realiti baru dunia yang
pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan
masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup
dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub
dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita.
Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan
jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang.
Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat
kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi
500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali
lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya
disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “
jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang.”
Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran
hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan
hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan
terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian
kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di
negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak
Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan
lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila
angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu
bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan
pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu,
pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh
bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.
Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa
kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran
terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah
sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan
rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke
tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka
telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah
jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa
kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi
untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka
tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat
sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas.
Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan
jerebu.
Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan
cendawan tumbuh selepas hujanjuga telah mengakibatkan masalah jerebu di
Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya.
Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan
karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan
lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap
pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara.
Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya
terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai
selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan
menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat
dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak
dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan
berlakulah jerebu di negara kita.
Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri
yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak
bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi
kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan
asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di
negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk
mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang
mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan
nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini
bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap
yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap
kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan
memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.
Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang
buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula
jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang
disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang
songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut
tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, “sebelum
nasi menjadi bubur”. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian
ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam
sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan
masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat
dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu
ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari
sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, “sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.
(Karangan ini dipetik dan diubah suai daripada karangan yang dihasilkan oleh
Tay Kit Huat, Valerie, Jonathan Tam, Charissa Yaw & Choong Sheue Li)